Sunday, July 23, 2017

Cara Membuat Permohonan Visa Pelancong Myanmar Di Kuala Lumpur

Negara kita Malaysia merupakan ahli dalam ASEAN. Kesemua negara anggota dalam ASEAN mempunyai persefahaman yang baik berkaitan perjalanan rakyatnya didalam kalangan negara-negara ASEAN. Hampir semua negara anggota ASEAN tidak memerlukan visa untuk kita rakyat Malaysia memasuki mana-mana negara anggota bagi tempoh jangka masa pendek (15 hingga 30 hari). Namun, terdapat satu negara anggota yang mewajibkan rakyat Malaysia mendapatkan visa terlebih dahulu (visa in advance) iaitu negara Myanmar. Disini saya akan kongsikan pengalaman memohon visa pelancong ke Myanmar.

Myanmar

Terdapat beberapa cara untuk membuat permohonan visa pelancong Myanmar. Kaedah biasa ialah datang sendiri ke kaunter Ever Fine Services Sdn Bhd. Mulai Oktober 2013, permohonan visa Myanmar tidak lagi dilakukan di Kedutaan Myanmar. Pihak Kedutaan Myanmar telah melantik Ever Fine Services Sdn Bhd untuk urusan permohonan visa dan perkhidmatan konsular. Pejabat Ever Fine Services Sdn Bhd terletak di Jalan Tun Perak berhampiran dengan stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Permohonan Visa Myanmar juga boleh dilakukan secara online (e-Visa) melalui pelbagai laman web. Saya cadangkan lebih baik ke laman web eVisa Myanmar yang boleh dipercayai kerana merupakan laman rasmi kerajaan Myanmar. Urusan pembayaran menggunakan kad kredit dan visa. Permohonan melalui kaedah ini hanya boleh digunakan untuk tiga laluan masuk sahaja iaitu; lapangan terbang antarabangsa Myanmar di Yangon, Naypyitaw dan Mandalay sahaja. 

Selain itu, boleh juga menggunakan kemudahan visa on arrival iaitu memohon visa sebaik sahaja tiba di lapangan terbang antarabangsa Myanmar di Yangon, Naypyitaw dan Mandalay. Pintu masuk antarabangsa yang lain tidak menyediakan kemudahan ini. Maklumat bagi kemudahan ini boleh didapati di laman web visa-on-arrival, Kementerian Imigresen dan Kependudukan, Republik Kesatuan Myanmar.

Saya cadangkan lebih baik memohon visa Myanmar seperti kaedah biasa sahaja. Sebagai tambahan kita boleh membuat visa bagi pihak orang lain tanpa membawa orang tersebut di kaunter permohonan (pastikan borang telah lengkap diisi dan ditandatangan oleh pemohon).

Bagi memohon visa pelancong seperti kaedah biasa, boleh datang terus ke kaunter di alamat berikut:

Ever Fine Services Sdn Bhd,
No. 19-21, Mezzanine Floor,
Jalan Tun Perak,
50000 KUALA LUMPUR.

Telefon: +603-2026 4075
E-mail: info@everfineservices.com.my

Memohon Visa Pelancong

Saya memilih kaedah biasa untuk memohon visa pelancong Myanmar atas alasan lebih selamat, cepat dan meyakinkan. Tapi memandangkan saya berada di Sabah, maka saya perlu terbang ke Kuala Lumpur. Tanggal 24 Oktober 2016, kami (saya, wife dan anak bongsu) menaiki penerbangan Airasia dari KKIA dan tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 1.00 petang.

Kami terus sahaja ke Ever Fine Services Sdn Bhd yang terletak di Jalan Tun Perak berhampiran stesen LRT Masjid Jamek. Tidak sukar bagi kami mencari kedudukannya kerana kami biasa dengan kawasan ini.

Ever Fine terletak bersebelahan KFC

Masuk pintu hotel Holiday ini

Terus naik tangga yang ada dihadapan

Pejabat Ever Fine berada di tingkat 1

Isi borang permohonan

Dokumen sokongan yang diperlukan bagi permohonan visa pelancong;

1. Pasport antarabangsa (Dokumen Asal) dengan sah laku tidak kurang 6 bulan dari tarikh sah luput.
2. Satu salinan mukasurat maklumat diri pasport (buat salinan sebelum ke kaunter, tidak perlu disahkan benar).
3. Dua keping gambar berukuran pasport (latar putih dan berbaju gelap/ hitam).
4. Borang permohonan yang telah lengkap diisi. Borang permohonan boleh dimuat turun disini
5. Kanak-kanak berumur 16 tahun kebawah perlu salinan surat beranak/ MyKad/MyKid.
6. Bayaran permohonan visa pelancong (RM141.00/orang - bayaran semasa kami membuat permohonan pada bulan Oktober 2016).
7. Telah membuat tempahan tiket penerbangan pergi dan balik (salinan diperlukan semasa kami membuat permohonan).
8. Telah membuat tempahan penginapan sepanjang berada di Myanmar (salinan diperlukan semasa kami membuat permohonan).

(Kemaskini: Mulai 05 Disember 2016 - bayaran visa pelancong telah dinaikkan kepada RM223.00).

Sila rujuk disini untuk maklumat lebih lanjut.

Setelah lengkap semuanya, barulah petugas visa memberikan nombor giliran. Tunggulah sehingga giliran dipanggil. Biasanya kita tidak menunggu lama untuk dilayan. Apabila nombor giliran dipanggil, segerahlah ke kaunter berkenaan. Berikan semua dokumen yang diperlukan staf dikaunter untuk dimasukkan dalam sistem. Setelah itu, perlu menunggu sekali lagi sehingga nombor giliran dipanggil untuk tujuan pembayaran. Resit pembayaran akan diberikan selepas bayaran dibuat. Simpan resit pembayaran sebaiknya untuk pengambilan pasport nanti.

Tunggu giliran dan segera ke kaunter apabila giliran dipanggil

Jika permohonan anda dibuat sebelum pukul 11.30 pagi pada hari isnin hingga jumaat, pasport bervisa anda boleh diambil pada pukul 4.30 petang hingga 5.30 petang pada hari yang sama di kaunter yang sama. Resit pembayaran perlu dikemukakan semasa menuntut pasport. Jika permohonan dilakukan selepas pukul 11.30 pagi atau pada hari sabtu dan ahad, pasport bervisa hanya boleh diambil pada hari berkerja berikutnya. Permohonan visa pada hari sabtu dan ahad, pasport bervisa hanya boleh diambil pada hari isnin hingga jumaat pada pukul 4.30 petang hingga 5.30 petang.

Kami membuat permohonan selepas pukul 11.30 pagi. Oleh itu, kami hanya akan dapat menuntut semula pasport bervisa pada keesokan harinya sekitar jam 4.30 petang. Proses permohonan sangat mudah dan lancar asalkan dokumen yang diperlukan lengkap.

Dipendekkan cerita, keesokannya 25 Oktober 2016 sekitar 4.30 petang kami datang semula ke kaunter Ever Fine Services Sdn Bhd untuk menuntut pasport. Visa dah pun siap!. Dengan itu, misi dan visi ke Myanmar pada 07 Disember 2016 disahkan!

Inilah rupa visa pelancong Myanmar saya yang telah siap

Selesai segala urusan, kami berangkat pulang ke Sabah menggunakan penerbangan Airasia pada sebelah malam hari yang sama.

Jadi, begitulah serba sedikit proses permohonan visa pelancong Myanmar. Semoga ia membantu anda dikemudian hari.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon