Sunday, July 30, 2017

Myanmar 01: Terbang Dari Singapura Ke Yangon

Tags

07 Disember 2016 - Dari Singapura ke KLIA2 dan sambung terbang ke Yangon, Myanmar

Flight Airasia kami ke KLIA2 dari Changi Airport yang sepatutnya berlepas pada jam 1.05 petang diumumkan akan mengalami kelewatan. Ketika petugas Airasia di Changi Airport mengumumkan kelewatan penerbangan, kami menjadi risau memandangkan flight kami ke Yangon, Myanmar dijadualkan berlepas pada jam 5.20 petang. Penerbangan Changi Airport ke KLIA2 memakan masa 1 jam. 

Sejam berlalu, 2.00 petang belum ada apa-apa pengumuman dari petugas. Tiada apa yang mampu dilakukan selain daripada terus menunggu. Menjelang 2.30 petang masih belum ada sebarang berita gembira mahupun menyedihkan diumumkan. Kami mula tidak senang duduk dan penumpang-penumpang yang lain juga mula menunjukkan reaksi yang sama. Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran...teringat kembali kisah pada tahun 2012 sekitar jam 7.00 malam di LCCT, KLIA. Trip ke Kochi, India terpaksa dibatalkan dan sebagai pilihan kami terbang ke Jakarta, Indonesia. Kejadian seperti itu tidak patut berlaku lagi!

Tiba-tiba keadaan menjadi kecoh, semua penumpang berdiri dan bergegas beratur di depan kaunter pelepasan. Rupanya petugas Airasia telahpun memberikan isyarat beratur untuk pemeriksaan keselamatan terakhir. Penerbangan dijadualkan semula dan berlepas pada jam 2.50 petang. Sejam kemudian kami tiba di KLIA2 dan terus memasuki laluan transit untuk ke Yangon.

Penerbangan ke Yangon juga mengalami kelewatan dan dijadualkan semula penerbangannya ke jam 5.45 petang. Penerbangan sebenar berlepas pada jam 6.20 petang.

Terbang meninggalkan KLIA2

Sepanjang penerbangan ke Yangon tiada apa yang boleh dibuat selain makan dan baca majalah 3sixty yang telah berulang kali dibaca. Boring dan tertidur.

Kami tiba di Yangon International Airport sekitar 7.20 malam waktu tempatan di Yangon. Beza waktu antara Malaysia dengan Yangon ialah 1 jam 30 minit. Oleh itu, kita perlu setkan masa mengundur 1 jam 30 minit kebelakang apabila tiba di Myanmar.

Yangon International Airport

Kami sewa teksi untuk ke penginapan di pusat bandaraya Yangon dengan bayaran Kyat 8000 @ RM25.00.

Teksi ke penginapan

Jarak Yangon International Airport dengan pusat bandar Yangon lebih kurang 15km dan mengambil masa perjalanan lebih 30 minit bergantung kepada keadaan trafik. Kami sampai dan diturunkan betul-betul dihadapan penginapan kami yang telah ditempah lebih awal di Booking.com iaitu Okinawa Guest House. Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Kami dijemput masuk oleh petugas penginapan dan terus melakukan pendaftaran masuk.

Okinawa Guest House

Selesai daftar masuk, kami keluar sebentar ke kedai runcit untuk membeli beberapa barangan keperluan. Dalam perjalanan ke kedai runcit, kami terlihat sebuah pagoda, Sule Pagoda. Sebenarnya, Okinawa Guest House terletak sangat berhampiran dengan Sule Pagoda. Sule Pagoda merupakan tarikan utama pelancong di kota Yangon.

Sule Pagoda

Sepanjang jalan raya berhampiran Sule Pagoda, banyak orang berjualan makanan ditepi jalan raya. Kami hanya melihat-lihat sahaja makanan yang dijual. Apapun yang paling menarik perhatian kami ialah kebanyakan orang disini tidak kira lelaki atau perempuan menampal bedak tebal pada muka mereka (bedak tanaka). Agak pelik tapi benar.

Orang berjual ditepi jalan raya

Selesai membeli barang keperluan, kami kembali ke penginapan. Kena berhati-hati ketika berjalan kaki di Yangon kerana banyak ludah berwarnah merah bersepah disepanjang jalan. Ludah merah ni disebabkan tabiat mereka yang suka mengunyah sirih dan meludah merata tempat. Yakkkk...!

Kembali ke penginapan

Keutamaan kami pada hari esok ialah pergi ke Shwedagon Pagoda.

Bersambung...

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon

Perkongsian Pintar