Wednesday, September 13, 2017

Myanmar 04: Jelajah Kota Yangon

Tags
9 Disember 2016

Hari ini adalah hari ketiga kami di Myanmar dan menjadi hari terakhir di kota Yangon sebelum berangkat ke Myawaddy pada jam 9.00 malam. Pada hari terakhir ini, kami rancang untuk merayau sekitar kota Yangon sahaja. Tujuan utama adalah untuk melihat dan mengambil gambar bangunan-bangunan zaman kolonial.

Sebelum itu, kami check out terlebih dahulu dan meminta kebenaran petugas penginapan untuk menyimpan beg kami di lobi. Kami akan kembali semula ke sini untuk mengambil beg tersebut sebelum ke Aung San Stadium sekitar jam 3.00 petang.

8.00 pagi ~ Jelajah kota Yangon bermula dari penginapan (A) ke Botataung Pagoda dan Botataung Jetty (B) seterusnya menyusuri Botataung Road dan Anawrahta Road ke St Mary's Cathedral (C) dan meneruskan perjalanan ke Mahabandoola Park (D) sebelum kembali semula ke penginapan (A) untuk mengambil beg.

Perjalanan kami

Botataung Pagoda

Berikut merupakan beberapa gambar bangunan zaman kolonial di sepanjang perjalanan jelajah kota Yangon;

Lawkanat Art Gallery

Building Building

Colonial Building

Salvation Army Church

St Mary's Cathedral

St Mary's Cathedral ~ antara struktur bangunan yang terindah di kota Yangon. 

Former Ministers Office

AYA Bank Head Office

Yangon City Hall

Yangon Region Court

Bengale Sunni Jameh Mosque

Selesai jelajah kota Yangon.

Sebelum mengambil beg di penginapan kami mengisi perut terlebih dahulu di sebuah restoran berhampiran Mahabandoola Park.

Lunch @ 7000 Kyat

Kesimpulan ~ jika cukup masa bolehlah melakukan jelajah kota Yangon untuk melihat bangunan zaman kolonial. Untuk pengetahuan, kota Yangon sedang pesat membangun dan banyak bangunan lama tinggalan penjajah sudah mula dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan moden. Oleh itu, sebelum semuanya itu lenyap selama-lamanya adalah lebih baik kita melihat dan mengambil gambar sebagai simpanan untuk generasi akan datang.

Projek Moden

Gambar di atas merupakan salah satu contoh pembinaan projek moden berhampiran Bogyoke Aung San Market ~ An artist's impression of the project carried out by Yoma to develope the former headquarters of the Burma Railways Company into a five-star hotel ~ Sedang dalam pembinaan ketika ini. 

Bersambung...

Monday, September 11, 2017

Tugu Khatulistiwa ~ Tugu Tanpa Bayangan Di Kota Pontianak

Melancong ke Kalimantan Barat tidak akan lengkap tanpa mengunjungi sebuah tugu yang unik, sarat dengan ilmu pengetahuan dan lokasinya yang sangat sempurna. Tugu yang dimaksudkan ialah Tugu Khatulistiwa atau Equator Monument. Tugu ini terletak di Jalan Khatulistiwa, Pontianak Utara iaitu 3 kilometer dari pusat Kota Pontianak.

Tugu Khatulistiwa

Tugu Khatulistiwa dibina oleh ahli geografi dari Belanda yang melakukan ekspedisi pada tahun 1928. Tugu Khatulistiwa ini pada awalnya dibina dari empat pilar kayu ulin sebagai titik penanda garisan lintang 00 darjah. Pada bagian atas tugu Khatulistiwa terdapat dua buah lingkaran sebagai tanda belahan bumi secara horizontal dan vertical, dengan diameter 2.11 meter bertuliskan “EVENAAR” dari bahasa Belanda yang bererti 'Khatulistiwa' dalam bahasa Indonesia/ Melayu. Bahagian tengah lingkaran pula terdapat sebuah anak panah penunjuk arah dengan mata panah menghadap ke arah barat. Panjang anak panah ini sekitar 2.15 meter. Di bahagian bawah anak panah tersebut tertulis “1090 20’ OlVGR” yang menunjukkan lokasi tugu ini berada pada garisan bujur. Titik penanda ini kemudiannya dicatat dalam globe dunia pada tahun 1930. Sejak itu, Tugu Khatulistiwa ini telah melalui beberapa kali pengubahsuaian.

Jadi apa yang menarik dengan tugu ini? Sebenarnya beberapa wilayah di Indonesia terletak betul-betul di bawah garisan Khatulistiwa, salah satunya ialah tugu ini. Lokasi Tugu Khatulistiwa ini berada tepat pada titik garisan lintang 00 darjah yang memisahkan bumi secara horizontal menjadikan bumi kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan. Saat matahari berada tepat di garisan Khatulistiwa, bayangan tugu dan benda disekitarnya akan hilang selama beberapa saat.

Fenomena ini hanya akan terjadi dua kali dalam setahun iaitu pada 21-23 Mac dan 21-23 September. Oleh itu, datanglah ke tugu ini pada tarikh tersebut jika anda ingin menyaksikan sendiri secara langsung terjadinya fenomena yang unik ini.

Masuk percuma, namun bayaran akan dikenakan jika anda ingin mendapatkan sijil sebagai bukti anda pernah berkunjung ke Tugu Khatulistiwa ini. Bayarannya cukup murah sekadar Rp 10.000 @RM5.00 saja. Menariknya dalam sijil tersebut dimasukkan gambar anda dan sijil ditandatangan oleh datuk bandar Pontianak.

Sunday, September 10, 2017

Eksotiknya Bukit Kelam ~ Bongkah Batu Monolit Terbesar Dipercayai Ada Di Kalimantan

Anda mungkin pernah mendengar bukit bernama Ayers Rock, batu jenis monolit yang terbesar di Australia. Tapi, percayakah anda bahawa pulau Borneo juga memiliki bukit batu seumpamanya? Malahan, dimensinya lebih besar daripada Ayers Rock. Ada yang mengatakan bahawa bukit batu monolit tersebut adalah bongkah batu monolit bersaiz raksasa yang terbesar di dunia. Benar atau tidak, Bukit Kelam namanya, terletak di Sintang, Kalimantan Barat.

Bukit Kelam

Bukit Kelam berketinggian sekitar 900 meter dari paras laut dengan kecuraman cerun sekitar 15 hingga 40 darjah. Bukit ini tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai kisah misteri bermula dari legenda persaingan hasil tangkapan ikan antara Bujang Beji dan Tumenggung Marubai. Ada pula yang percaya bongkah batu Bukit Kelam adalah batu meteor raksasa yang jatuh ke bumi pada masa lampau.

Lupakan segala mitos dan kisah misteri, Bukit Kelam telah menjadi salah satu ikon pelancongan di Sintang dan semakin meningkat popular dengan purata jumlah pengunjung sekitar 100 orang sehari. Pada musim cuti hujung minggu dan hari kebesaran keagamaan, purata pengunjung mencapai ribuan orang.

Kepada anda yang sukakan aktiviti lasak seperti hiking dan trekking, Bukit Kelam adalah jawapannya. Puncaknya pula merupakan lokasi ideal bagi mereka yang cintakan ketinggian. Terdapat dua cara untuk sampai ke puncak Bukit Kelam, iaitu mendaki melalui rangkaian tangga besi yang berada di bahagian barat bukit atau memanjat tebing batu dengan kecuraman hampir 90 darjah di sebelah selatan. Kalau berani, cubalah sensasi terbang menggunakan Paragliding dari puncak Bukit Kelam.

Selain itu, Bukit Kelam juga menawarkan tarikan lain kepada pencinta alam iaitu air terjun dan beberapa gua semulajadi yang menjadi kediaman ribuan kelawar dan burung walet. Dari puncak bukit, anda dapat melihat keindahan hutan hujan tropika yang terbentang luas dan nikmatilah bagaimana indahnya Sungai Kapuas dan Sungai Melawi dari kejauhan. Pada waktu malam hingga subuh hari, suhu di puncak bukit berada di bawah 20 darjah celsius.

Jika anda berminat untuk ke Bukit Kelam, anda boleh menggunakan pengangkutan darat dan udara. Jika dari Kota Pontianak, anda boleh menggunakan perkhidmatan bas awam menuju ke kota Sintang terlebih dahulu dengan menempuh perjalanan sejauh 395 kilometer. Jika menggunakan pengangkutan udara, terbang dari Kota Pontianak menuju kota Sintang hanya mengambil masa sekitar 30 minit. Seterusnya sambung perjalanan dari kota Sintang menuju Bukit Kelam sejauh 20 kilometer melalui pengangkutan darat. Memandu kenderaan sendiri ke Bukit Kelam adalah lebih baik berbanding menggunakan perkhidmatan bas awam. Tiket masuk pada hari biasa Rp 15.000 @RM5.00 seorang dan cuti hujung minggu Rp 20.000 @RM6.50 seorang. 

Mungkin Bukit Kelam di Sintang merupakan lokasi pelancongan dengan pelbagai aktiviti mencabar yang paling menarik di Kalimantan Barat, Indonesia.

Saturday, September 9, 2017

Danau Sentarum - Syurga Terakhir Di Jantung Borneo

Mungkin anda telahpun sedia maklum bahawa tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara ialah tasik Tonle Sap di Cambodia. Tasik ini sangat unik. Apabila musim hujan, aras ketinggian air tasik akan meningkat kerana air dari Mekong River akan melimpah masuk ke dalam tasik. Keluasan tasik akan bertambah enam kali ganda. Apabila musim panas, tasik ni akan shrink atau mengecut sebab air akan surut dan mengalir semula ke Mekong River. Kedalaman tasik dari 9 meter turun kepada 1 meter sahaja. Tasik ini juga termasuk dalam senarai UNESCO biosphere. Tapi tahukah anda bahawa tasik seumpamanya juga ada di pulau Borneo?

Danau Sentarum (banjir-surut)

Berada di dalam kawasan The Heart of Borneo, Tasik Sentarum atau lebih dikenali dengan sebutan Danau Sentarum merupakan gabungan 20 buah tasik pelbagai saiz. Sejak tahun 1999, tasik ini diwartakan sebagai Taman Nasional Danau Sentarum (TNDS) dengan keluasan 132,000 hektar iaitu 89,000 hektar merupakan hutan rawa tergenang dan 43,000 hektar lagi adalah daratan. Terletak di daerah Kapuas Hulu, 700 kilometer di timur laut Kota Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

Jika tasik Tonle Sap sumber airnya dari sungai Mekong, air Danau Sentarum pula datangnya dari aliran sungai Kapuas, salah satu sungai terpanjang di Indonesia. Setiap tahunnya selama 10 bulan tasik ini di penuhi air dengan kedalaman sehingga 14 meter. Airnya berwarna hitam kemerah-merahan kerana mengandung tannin yang berasal dari hutan gambut di sekitarnya. Uniknya, apabila musim kemarau, paras air sungai Kapuas berangsur-angsur turun dan air dari Danau Sentarum akan mengalir keluar ke sungai Kapuas. Kesannya, sebagian besar tasik menjadi kering membentuk hamparan tanah yang luas dengan kolam-kolam kecil di sekitarnya.

Fenomena banjir dan surut yang unik ini lebih bermakna apabila kita meneliti spesies flora dan fauna yang ada disini. Tasik yang terbentuk pada zaman ais ini memiliki kekayaan flora dan fauna luar biasa yang tidak akan ditemukan di tempat lain. Tumbuhannya saja ada 510 spesies dengan 33 spesies di antaranya endemik TNDS dan 10 spesies merupakan spesies baru. Terdapat 141 spesies haiwan mamalia, 29 spesies diantaranya endemik TNDS, dan 64 peratus mamalia tersebut endemik pulau Borneo. Bahkan Buaya Katak (Crocodylus Raninus) yang dikatakan telah pupus di asia sejak 150 tahun yang lalu dipercayai masih ditemui di kawasan ini.

Selain kekayaan flora dan fauna TNDS ini juga menjadi kediaman manusia yang terdiri daripada suku Dayak Iban, Sebaruk, Sontas, Kenyah dan Punan. Mereka hidup secara tradisional dengan aktiviti ekonomi utamanya sebagai petani dan nelayan.

Danau Sentarum (banjir-surut)

Gabungan fenomena banjir dan surut, kepelbagaian flora dan fauna serta kehidupan masyarakat di TNDS inilah yang menjadikan kawasan Danau Sentarum merupakan salah satu ekosistem tasik air tawar yang unik, terjaga dan masih berada dalam keadaan baik di pulau Borneo, bahkan di Asia Tenggara. Selain itu, Danau Sentarum juga menjanjikan keindahan alam semulajadi yang tak terkira sehingga mendapat gelaran The Last Paradise. 

Oleh itu, Danau Sentarum merupakan destinasi wajib apabila anda ke Kalimantan Barat, inilah dia tasik ajaib di the heart of Borneo.

Thursday, September 7, 2017

Pasar Terapung Di Pulau Borneo Ada Di Banjarmasin

Melainkan warga Indonesia, Banjarmasin mungkin kurang dikenali dan masih terlalu asing kepada sebahagian besar rakyat Malaysia. Walaupun kurang dikenali, Banjarmasin yang menjadi ibu kota Kalimantan Selatan ini memiliki tarikan pelancongan yang tersendiri untuk dikunjungi baik dari segi budaya dan keindahannya. Bagi yang belum tahu, kota ini mempunyai pasar yang unik iaitu pasar terapung.

Pasar terapung di Banjarmasin

Menurut sejarah, pasar terapung di Banjarmasin merupakan pasar tradisional yang sudah wujud sejak lebih 400 tahun yang lalu. Sehingga kini, keunikannya masih dipertahankan serta menjadi salah satu lokasi pelancongan utama di Banjarmasin. Malahan sistem jual belinya masih ada lagi yang menggunakan sistem barter.

Di pasar terapung ini, peniaga yang terdiri daripada masyarakat tempatan menjual pelbagai hasil pertanian di atas perahu atau "jukung" dalam bahasa tempatan. Selain hasil pertanian terdapat juga barangan jualan yang lain seperti pakaian dan juga pelbagai jenis makanan. Menikmati menu istimewa kaum Banjar iaitu soto dan nasi sop banjar di atas perahu merupakan pengalaman yang wajib diabadikan apabila anda berkunjung ke sini.

Terdapat tiga lokasi pasar terapung di Banjarmasin yang mudah untuk dikunjungi iaitu pasar terapung Kuin, pasar terapung Lok Baintan dan pasar terapung Siring. Pasar terapung Kuin dan Lok Baintan beroperasi bermula sekitar 6.30 pagi hingga 8.00 pagi sahaja manakala pasar terapung Siring sehingga 10.00 pagi.

Sebagai perbandingan, pasar terapung di Banjarmasin ini tidaklah jauh berbeza dengan pasar terapung yang ada di Thailand, jadi kenapa perlu ke Thailand semata-mata untuk melihat pasar terapung? Datanglah ke Banjarmasin dan alami sensasi tawar-menawar, berbelanja, dapatkan souvenir dan rasakan kuliner di atas jukung. Semuanya ada di kota Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia.

Perkongsian Pintar