Saturday, September 9, 2017

Danau Sentarum - Syurga Terakhir Di Jantung Borneo

Mungkin anda telahpun sedia maklum bahawa tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara ialah tasik Tonle Sap di Cambodia. Tasik ini sangat unik. Apabila musim hujan, aras ketinggian air tasik akan meningkat kerana air dari Mekong River akan melimpah masuk ke dalam tasik. Keluasan tasik akan bertambah enam kali ganda. Apabila musim panas, tasik ni akan shrink atau mengecut sebab air akan surut dan mengalir semula ke Mekong River. Kedalaman tasik dari 9 meter turun kepada 1 meter sahaja. Tasik ini juga termasuk dalam senarai UNESCO biosphere. Tapi tahukah anda bahawa tasik seumpamanya juga ada di pulau Borneo?

Danau Sentarum (banjir-surut)

Berada di dalam kawasan The Heart of Borneo, Tasik Sentarum atau lebih dikenali dengan sebutan Danau Sentarum merupakan gabungan 20 buah tasik pelbagai saiz. Sejak tahun 1999, tasik ini diwartakan sebagai Taman Nasional Danau Sentarum (TNDS) dengan keluasan 132,000 hektar iaitu 89,000 hektar merupakan hutan rawa tergenang dan 43,000 hektar lagi adalah daratan. Terletak di daerah Kapuas Hulu, 700 kilometer di timur laut Kota Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

Jika tasik Tonle Sap sumber airnya dari sungai Mekong, air Danau Sentarum pula datangnya dari aliran sungai Kapuas, salah satu sungai terpanjang di Indonesia. Setiap tahunnya selama 10 bulan tasik ini di penuhi air dengan kedalaman sehingga 14 meter. Airnya berwarna hitam kemerah-merahan kerana mengandung tannin yang berasal dari hutan gambut di sekitarnya. Uniknya, apabila musim kemarau, paras air sungai Kapuas berangsur-angsur turun dan air dari Danau Sentarum akan mengalir keluar ke sungai Kapuas. Kesannya, sebagian besar tasik menjadi kering membentuk hamparan tanah yang luas dengan kolam-kolam kecil di sekitarnya.

Fenomena banjir dan surut yang unik ini lebih bermakna apabila kita meneliti spesies flora dan fauna yang ada disini. Tasik yang terbentuk pada zaman ais ini memiliki kekayaan flora dan fauna luar biasa yang tidak akan ditemukan di tempat lain. Tumbuhannya saja ada 510 spesies dengan 33 spesies di antaranya endemik TNDS dan 10 spesies merupakan spesies baru. Terdapat 141 spesies haiwan mamalia, 29 spesies diantaranya endemik TNDS, dan 64 peratus mamalia tersebut endemik pulau Borneo. Bahkan Buaya Katak (Crocodylus Raninus) yang dikatakan telah pupus di asia sejak 150 tahun yang lalu dipercayai masih ditemui di kawasan ini.

Selain kekayaan flora dan fauna TNDS ini juga menjadi kediaman manusia yang terdiri daripada suku Dayak Iban, Sebaruk, Sontas, Kenyah dan Punan. Mereka hidup secara tradisional dengan aktiviti ekonomi utamanya sebagai petani dan nelayan.

Danau Sentarum (banjir-surut)

Gabungan fenomena banjir dan surut, kepelbagaian flora dan fauna serta kehidupan masyarakat di TNDS inilah yang menjadikan kawasan Danau Sentarum merupakan salah satu ekosistem tasik air tawar yang unik, terjaga dan masih berada dalam keadaan baik di pulau Borneo, bahkan di Asia Tenggara. Selain itu, Danau Sentarum juga menjanjikan keindahan alam semulajadi yang tak terkira sehingga mendapat gelaran The Last Paradise. 

Oleh itu, Danau Sentarum merupakan destinasi wajib apabila anda ke Kalimantan Barat, inilah dia tasik ajaib di the heart of Borneo.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon