Sunday, September 10, 2017

Eksotiknya Bukit Kelam ~ Bongkah Batu Monolit Terbesar Dipercayai Ada Di Kalimantan

Anda mungkin pernah mendengar bukit bernama Ayers Rock, batu jenis monolit yang terbesar di Australia. Tapi, percayakah anda bahawa pulau Borneo juga memiliki bukit batu seumpamanya? Malahan, dimensinya lebih besar daripada Ayers Rock. Ada yang mengatakan bahawa bukit batu monolit tersebut adalah bongkah batu monolit bersaiz raksasa yang terbesar di dunia. Benar atau tidak, Bukit Kelam namanya, terletak di Sintang, Kalimantan Barat.

Bukit Kelam

Bukit Kelam berketinggian sekitar 900 meter dari paras laut dengan kecuraman cerun sekitar 15 hingga 40 darjah. Bukit ini tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai kisah misteri bermula dari legenda persaingan hasil tangkapan ikan antara Bujang Beji dan Tumenggung Marubai. Ada pula yang percaya bongkah batu Bukit Kelam adalah batu meteor raksasa yang jatuh ke bumi pada masa lampau.

Lupakan segala mitos dan kisah misteri, Bukit Kelam telah menjadi salah satu ikon pelancongan di Sintang dan semakin meningkat popular dengan purata jumlah pengunjung sekitar 100 orang sehari. Pada musim cuti hujung minggu dan hari kebesaran keagamaan, purata pengunjung mencapai ribuan orang.

Kepada anda yang sukakan aktiviti lasak seperti hiking dan trekking, Bukit Kelam adalah jawapannya. Puncaknya pula merupakan lokasi ideal bagi mereka yang cintakan ketinggian. Terdapat dua cara untuk sampai ke puncak Bukit Kelam, iaitu mendaki melalui rangkaian tangga besi yang berada di bahagian barat bukit atau memanjat tebing batu dengan kecuraman hampir 90 darjah di sebelah selatan. Kalau berani, cubalah sensasi terbang menggunakan Paragliding dari puncak Bukit Kelam.

Selain itu, Bukit Kelam juga menawarkan tarikan lain kepada pencinta alam iaitu air terjun dan beberapa gua semulajadi yang menjadi kediaman ribuan kelawar dan burung walet. Dari puncak bukit, anda dapat melihat keindahan hutan hujan tropika yang terbentang luas dan nikmatilah bagaimana indahnya Sungai Kapuas dan Sungai Melawi dari kejauhan. Pada waktu malam hingga subuh hari, suhu di puncak bukit berada di bawah 20 darjah celsius.

Jika anda berminat untuk ke Bukit Kelam, anda boleh menggunakan pengangkutan darat dan udara. Jika dari Kota Pontianak, anda boleh menggunakan perkhidmatan bas awam menuju ke kota Sintang terlebih dahulu dengan menempuh perjalanan sejauh 395 kilometer. Jika menggunakan pengangkutan udara, terbang dari Kota Pontianak menuju kota Sintang hanya mengambil masa sekitar 30 minit. Seterusnya sambung perjalanan dari kota Sintang menuju Bukit Kelam sejauh 20 kilometer melalui pengangkutan darat. Memandu kenderaan sendiri ke Bukit Kelam adalah lebih baik berbanding menggunakan perkhidmatan bas awam. Tiket masuk pada hari biasa Rp 15.000 @RM5.00 seorang dan cuti hujung minggu Rp 20.000 @RM6.50 seorang. 

Mungkin Bukit Kelam di Sintang merupakan lokasi pelancongan dengan pelbagai aktiviti mencabar yang paling menarik di Kalimantan Barat, Indonesia.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon