Thursday, September 7, 2017

Pasar Terapung Di Pulau Borneo Ada Di Banjarmasin

Melainkan warga Indonesia, Banjarmasin mungkin kurang dikenali dan masih terlalu asing kepada sebahagian besar rakyat Malaysia. Walaupun kurang dikenali, Banjarmasin yang menjadi ibu kota Kalimantan Selatan ini memiliki tarikan pelancongan yang tersendiri untuk dikunjungi baik dari segi budaya dan keindahannya. Bagi yang belum tahu, kota ini mempunyai pasar yang unik iaitu pasar terapung.

Pasar terapung di Banjarmasin

Menurut sejarah, pasar terapung di Banjarmasin merupakan pasar tradisional yang sudah wujud sejak lebih 400 tahun yang lalu. Sehingga kini, keunikannya masih dipertahankan serta menjadi salah satu lokasi pelancongan utama di Banjarmasin. Malahan sistem jual belinya masih ada lagi yang menggunakan sistem barter.

Di pasar terapung ini, peniaga yang terdiri daripada masyarakat tempatan menjual pelbagai hasil pertanian di atas perahu atau "jukung" dalam bahasa tempatan. Selain hasil pertanian terdapat juga barangan jualan yang lain seperti pakaian dan juga pelbagai jenis makanan. Menikmati menu istimewa kaum Banjar iaitu soto dan nasi sop banjar di atas perahu merupakan pengalaman yang wajib diabadikan apabila anda berkunjung ke sini.

Terdapat tiga lokasi pasar terapung di Banjarmasin yang mudah untuk dikunjungi iaitu pasar terapung Kuin, pasar terapung Lok Baintan dan pasar terapung Siring. Pasar terapung Kuin dan Lok Baintan beroperasi bermula sekitar 6.30 pagi hingga 8.00 pagi sahaja manakala pasar terapung Siring sehingga 10.00 pagi.

Sebagai perbandingan, pasar terapung di Banjarmasin ini tidaklah jauh berbeza dengan pasar terapung yang ada di Thailand, jadi kenapa perlu ke Thailand semata-mata untuk melihat pasar terapung? Datanglah ke Banjarmasin dan alami sensasi tawar-menawar, berbelanja, dapatkan souvenir dan rasakan kuliner di atas jukung. Semuanya ada di kota Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon

Perkongsian Pintar