Monday, September 11, 2017

Tugu Khatulistiwa ~ Tugu Tanpa Bayangan Di Kota Pontianak

Melancong ke Kalimantan Barat tidak akan lengkap tanpa mengunjungi sebuah tugu yang unik, sarat dengan ilmu pengetahuan dan lokasinya yang sangat sempurna. Tugu yang dimaksudkan ialah Tugu Khatulistiwa atau Equator Monument. Tugu ini terletak di Jalan Khatulistiwa, Pontianak Utara iaitu 3 kilometer dari pusat Kota Pontianak.

Tugu Khatulistiwa

Tugu Khatulistiwa dibina oleh ahli geografi dari Belanda yang melakukan ekspedisi pada tahun 1928. Tugu Khatulistiwa ini pada awalnya dibina dari empat pilar kayu ulin sebagai titik penanda garisan lintang 00 darjah. Pada bagian atas tugu Khatulistiwa terdapat dua buah lingkaran sebagai tanda belahan bumi secara horizontal dan vertical, dengan diameter 2.11 meter bertuliskan “EVENAAR” dari bahasa Belanda yang bererti 'Khatulistiwa' dalam bahasa Indonesia/ Melayu. Bahagian tengah lingkaran pula terdapat sebuah anak panah penunjuk arah dengan mata panah menghadap ke arah barat. Panjang anak panah ini sekitar 2.15 meter. Di bahagian bawah anak panah tersebut tertulis “1090 20’ OlVGR” yang menunjukkan lokasi tugu ini berada pada garisan bujur. Titik penanda ini kemudiannya dicatat dalam globe dunia pada tahun 1930. Sejak itu, Tugu Khatulistiwa ini telah melalui beberapa kali pengubahsuaian.

Jadi apa yang menarik dengan tugu ini? Sebenarnya beberapa wilayah di Indonesia terletak betul-betul di bawah garisan Khatulistiwa, salah satunya ialah tugu ini. Lokasi Tugu Khatulistiwa ini berada tepat pada titik garisan lintang 00 darjah yang memisahkan bumi secara horizontal menjadikan bumi kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan. Saat matahari berada tepat di garisan Khatulistiwa, bayangan tugu dan benda disekitarnya akan hilang selama beberapa saat.

Fenomena ini hanya akan terjadi dua kali dalam setahun iaitu pada 21-23 Mac dan 21-23 September. Oleh itu, datanglah ke tugu ini pada tarikh tersebut jika anda ingin menyaksikan sendiri secara langsung terjadinya fenomena yang unik ini.

Masuk percuma, namun bayaran akan dikenakan jika anda ingin mendapatkan sijil sebagai bukti anda pernah berkunjung ke Tugu Khatulistiwa ini. Bayarannya cukup murah sekadar Rp 10.000 @RM5.00 saja. Menariknya dalam sijil tersebut dimasukkan gambar anda dan sijil ditandatangan oleh datuk bandar Pontianak.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon