Wednesday, February 28, 2018

Graha Maria Annai Velangkanni ~ Gereja Terunik di Kota Medan

Medan ialah ibu negeri Sumatera Utara, Indonesia. Medan juga merupakan bandar pelbagai kaum dan agama. Majoriti penduduk Medan ialah suku Batak Mandailing dan suku Jawa, namun terdapat juga kaum India, Cina, Aceh, Minangkabau, Melayu Riau, dan lain-lain. Selain itu, Medan adalah bandar terbesar di pulau Sumatera dan juga bandar ke-3 terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya.

Di kota Medan inilah terletaknya sebuah gereja Katolik yang sangat unik, iaitu Gereja Graha Maria Annai Velangkanni. Gereja ini dikatakan unik kerana seni binanya lebih menyerupai kuil Hindu berbanding sebuah gereja.

Gereja Graha Maria Annai Velangkanni

Gereja Graha Maria Annai Velangkanni ini terletak di Taman Sakura Indah, Jl. Sakura III No. 10, Tanjung Selamat, Medan, Sumatera Utara.

Gereja ini dibina pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2005. Pembangunannya diselia oleh Paderi James Bharata Putra dan dibantu ahli konstruksi bangunan. Paderi James Bharata Putra yang berasal usul dari Selatan India juga merupakan orang yang bertanggungjawab mereka bentuk bangunan gereja ini. Sebab itulah bentuk gereja ini menyerupai kuil Hindu. Gereja tersebut didirikan untuk memenuhi keperluan rohani umat Katolik berketurunan India yang ramai di Medan.

Hanya terdapat dua Velangkanni di dunia iaitu di Medan dan satu lagi di Selatan India dengan saiz yang lebih besar. Gereja Graha Maria Annai Velangkanni dibuka kepada kunjungan umum tanpa sebarang bayaran.

Tuesday, February 27, 2018

Myanmar 06: Perjalanan Menaiki Bas Sepanjang Malam Ke Myawaddy

Tags
10 Disember 2016 ~ Hari terakhir di Myanmar.

Perjalanan menaiki bas ke Myawaddy bermula dari Aung Mingalar Highway Bus Station di Yangon. Bas bergerak dari Yangon pada 9 Disember 2016 jam 9.00 malam. Jalan raya bertar sepenuhnya. Sepanjang perjalanan bas akan berhenti di beberapa perhentian untuk memberi peluang kepada penumpang mengisi perut dan pergi ke tandas. Selain itu, bas juga akan menurunkan dan mengambil penumpang di sepanjang perjalanan jika ada kerusi kosong.

Hentian kedua

Hentian kedua ~ hari masih gelap sekitar 5.30 pagi waktu tempatan. Makan biskut dan minum nescafe sahaja. Selepas hentian kedua, sambung perjalanan dan tidur. Kami terbangun, jam menunjukkan pukul 8.13 pagi.

Memandangkan hari dah terang, kami terus berjaga sambil melihat pemandangan sekeliling. Kami menjangkakan sebentar lagi akan tiba di bandar Myawaddy berpandukan papan tanda yang terdapat di tepi jalan. Bas mengurangkan kelajuan, bergerak perlahan seterusnya berhenti ditepi jalan raya.

Kami diturunkan di hadapan deretan kedai yang berhadapan dengan bangunan gereja Christian Baptist Church.

Christian Baptist Church

Semua penumpang diarahkan turun disini. Kami sebenarnya terpinga-pinga kerana tidak menjangkakan akan diturunkan disini. Kami bertanya kepada pengusaha kedai ditempat kami diturunkan; "berapa jauh ke sempadan Myanmar-Thailand dari sini?" Pengusaha kedai mengatakan lebih kurang 1 km. 

Kami memutuskan untuk berjalan kaki sahaja sambil melihat-lihat bandar Myawaddy. Seperti biasa ramai pengusaha tuk-tuk/ motosikal berusaha mencari penumpang dan mendekati kami agar menggunakan perkhidmatan mereka. Ada kalanya mereka sedikit mendesak. Kami katakan saja tidak dan terus berjalan kaki ke sempadan.

1 km ke checkpoint

Tidak lama kemudian kami tiba di gerbang yang menjadi pusat pemeriksaan imigresen dan keselamatan (ICQ) Myawaddy di sempadan Myanmar-Thailand.

Gerbang ICQ Myawaddy

Selagi semua dokumen lengkap, urusan di bahagian imigresen adalah mudah dan lancar tanpa sebarang masalah. Selesai urusan keselamatan, kami sudahpun melepasi pusat pemeriksaan sempadan Myanmar dan menuju ke Thai-Myanmar Friendship Bridge.

Gambar diambil dari arah Thailand

Berjaya melepasi pusat pemeriksaan sempadan Myanmar tanpa masalah. Seterusnya berjalan kaki menuju ke sempadan Thailand melalui Thai-Myanmar Friendship Bridge ~ akan ditutup pada jam 8.00 malam setiap hari.

Menuju Mae Sot, Thailand

Myanmar < | > Thailand

Moei River ~ sungai yang memisahkan Myanmar dengan Thailand. Nah! kami berada betul-betul di garisan pemisah sempadan antara Myanmar dengan Thailand.

Bye-bye Myanmar

Si anjing hitam berada dalam sempadan Myanmar, kami pula didalam sempadan Thailand. Di kawasan inilah kenderaan dari Myanmar yang memasuki Thailand akan bertukar arah pemanduan dari kiri ke kanan. Kenderaan Thailand pula bertukar arah dari kanan ke kiri apabila memasuki Myanmar.

Welcome to Thailand!

Kami melepasi sempadan Myanmar pada jam 9.30 pagi tanpa sebarang masalah dan bersedia memasuki pusat pemeriksaan keselamatan di sempadan Thailand. Maka berakhirlah sudah episod perjalanan kami selama 4 hari 3 malam di Myanmar. Destinasi seterusnya ialah bandar Tak yang terletak 100 km dari sempadan untuk mendapatkan bas ke Chiang Rai yang terletak di bahagian utara Thailand.

~TAMAT~

Pulau Samosir - Pulau Keramat Suku Batak

Rumah tradisi suku Batak

Pulau Samosir memiliki keluasan hampir sama dengan saiz negara Singapura. Didalam Pulau Samosir terdapat dua danau kecil iaitu Danau Aek Natonang dan Danau Sidihoni. Pulau ini didiami suku Batak Samosir. Walaupun hampir kesemua suku Batak yang tinggal di Pulau Samosir telahpun menganut agama Kristian, mereka masih mempertahankan warisan adat tradisi mereka. Mereka juga masih menjalankan beberapa ritual yang biasa dilakukan oleh nenek moyang mereka dahulu.

Di Pulau Samosir terdapat dua desa yang sering dikunjungi pelancong iaitu Tomok dan Tuktuk. Tomok merupakan desa yang menjadi lokasi pelancongan utama seperti Makam Raja Sidabutar, Muzium Batak dan pertunjukan tarian patung Sigale-gale yang terkenal. Berbeza dengan Tomok yang memiliki banyak lokasi bersejarah, Tuktuk pula merupakan desa di mana terdapat banyak pilihan penginapan untuk pelancong.

Pulau Samosir

Apa yang menarik di Pulau Samosir?

Mengenal sejarah Batak

Ketika berada di Pulau Samosir, pengunjung boleh mengenal serba sedikit sejarah Batak dengan mengunjungi tempat bersejarah. Luangkan masa mengunjungi desa Tomok di mana terdapat Makam Raja Sidabutar, Muzium Huta Bolon di Simanindo dan Batu Persidangan di Ambarita.

Makam Raja Butar sangat unik kerana dibina daripada batu besar tanpa sambungan dan terdapat ukiran wajah sang raja di batu makamnya. Raja Sidabutar merupakan orang pertama yang mendiami Tomok. Di kompleks pemakaman ini juga terdapat makam dua raja penerusnya dan makam beberapa anggota keluarga terdekat. Untuk masuk ke tempat ini, pengunjung dikehendaki memakai ulos (selendang) yang telah disediakan oleh petugas di pintu masuk.

Muzium Huta Bolon tak kurang daya tarikannya. Di sini pengunjung dapat melihat rumah adat Batak Simanindo peninggalan Raja Sidauruk yang pada ketika ini telahpun dijadikan muzium budaya Batak. Di dalam muzium terdapat banyak koleksi yang berkaitan dengan budaya Batak seperti pakaian tradisional, kain ulos dan juga keranda yang berisi patung Sigale-gale.

Tidak dilupakan juga desa Ambarita di mana terdapat Batu Persidangan. Batu yang berbentuk seperti meja ini dahulunya digunakan untuk mengadili dan menghukum tahanan. Tahanan yang terbukti melakukan kesalahan seperti membunuh, mencuri dan memperkosa akan dihukum pancung di meja ini.

Patung Sigale-gale

Patung Sigale-gale menjadi salah satu ciri khas di Sumatera Utara. Patung kayu setinggi 1.5 meter lengkap dengan pakaian adat Batak ini dapat menari tor-tor bersama pelancong. Pertunjukan tarian Sigale-gale ini dapat disaksikan di beberapa lokasi tumpuan pelancong di Danau Toba seperti di Muzium Huta Bolon.

Patung Sigale-gale harus disimpan di dalam keranda. Patung ini dikatakan sangat keramat kerana sejarahnya yang panjang. Berawal dari anak kesayangan seorang raja Batak pada zaman dahulu yang terkorban ketika berperang. Raja menjadi sangat sedih dan sering sakit.

Disebabkan keadaan sang Raja yang tidak menentu, tabib memutuskan untuk membuat patung kayu berukuran manusia dengan wajahnya menyerupai anak raja. Menurut penduduk tempatan, roh anak raja masuk kedalam patung kayu tersebut sehingga Sigale-gale mampu bergerak dan menari sendiri.

Belanja

Tidak lengkap jika melancong tanpa berbelanja. Di kawasan Danau Toba dan sekitarnya terdapat banyak kedai yang menjual kain tenun, gitar khas Batak dan beraneka suvenir lainnya. Suvenir-suvenir ini banyak ditemui di Pulau Samosir, Parapat, Balige dan tempat-tempat lain sekitar Danau Toba. Sediakan wang dan asah kemahiran tawar-menawar anda!

Pengangkutan ke Pulau Samosir

Lokasi terdekat dengan Danau Toba yang boleh dicapai kenderaan adalah pekan Parapat, Simalungun. Dari Terminal Pinang Baris di Medan, naik bas laluan Parapat. Perjalanan ke Parapat dari Medan memakan masa sekitar 6 jam. Jika ingin ke Pulau Samosir, anda boleh menyeberangi danau dengan menggunakan feri dari Pelabuhan Ajibata menuju Tuktuk, Samosir.

~TAMAT~

Danau Toba - Kaldera Terbesar di Asia Tenggara

Danau Toba

Danau Toba yang terletak di Sumatera Utara merupakan salah satu danau vulkanik terindah yang dimiliki negara Indonesia. Dengan keluasan yang mencapai 1145 kilometer persegi, Danau Toba kelihatan seperti sebuah lautan yang berada di ketinggian 900 meter di atas permukaan laut. Selain menjadi danau terluas di Asia Tenggara, danau yang memiliki kedalaman 450 meter ini juga merupakan danau terdalam di dunia.

Danau Toba

Sejarah Danau Toba

Dari sudut ilmiah, Danau Toba adalah danau vulkanik yang terbentuk hasil daripada letusan Gunung Berapi Toba ribuan tahun yang lalu. Letusan tersebut membentuk kaldera atau kawah raksasa yang kemudiannya menakung air hingga menjadi danau seperti yang kelihatan pada hari ini.

Letusan gunung ini sangat luar biasa sehinggakan debu vulkanik yang dihasilkannya tersebar meliputi hampir ke seluruh dunia dan dipercayai menyebabkan 60% daripada jumlah populasi manusia pada ketika itu terkorban. Selain itu, letusan ini juga mengubah iklim dan cuaca sehingga bumi mengalami zaman ais.

Apa Menariknya Danau Toba?

Danau Toba merupakan destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Di tengah Danau Toba, terdapat sebuah pulau yang dikenali sebagai Pulau Samosir. Pulau Samosir memiliki keluasan hampir sama dengan saiz negara Singapura. Pulau Samosir memiliki dua danau kecil iaitu Danau Aek Natonang dan Danau Sidihoni. Pulau ini didiami suku Batak Samosir. Sila baca selengkapnya disini.

Selain itu, Danau Toba dikelilingi oleh hutan pokok tirus, terdapat beberapa air terjun dan juga kolam air panas. Pemandangan di sekeliling danau ini sangat indah dengan udara yang bersih dan suhu agak sejuk.

Festival Danau Toba

Festival Danau Toba merupakan acara tahunan hasil kerjasama permerintah daerah Sumatera Utara dan Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia. Festival ini dianjurkan antara bulan Ogos dan September setiap tahun.

Dalam festival ini, pelbagai pertunjukan seni budaya bermula dari pertunjukan tarian sampailah pertandingan perahu berhias. Pengunjung juga akan disajikan dengan beragam kuliner lazat dan kain tenun yang cantik sepanjang festival berlangsung.

Pengangkutan ke Danau Toba

Lokasi terdekat dengan Danau Toba yang boleh dicapai kenderaan adalah pekan Parapat, Simalungun. Dari Terminal Pinang Baris di Medan, naik bas laluan Parapat. Perjalanan ke Parapat dari Medan memakan masa sekitar 6 jam. Jika ingin ke Pulau Samosir, anda boleh menyeberangi danau dengan menggunakan feri dari Pelabuhan Ajibata menuju Tuktuk, Samosir.

~TAMAT~

Monday, February 26, 2018

Myanmar 05: Selamat Tinggal Yangon

Tags
3.30 petang ~ selesai makan kami ke penginapan untuk mengambil bagasi dan menaiki teksi ke Aung San Stadium dengan tambang 2000 Kyat.

Setibanya di Aung San Stadium, Shawn mencadangkan kami berjalan-jalan dahulu di sekitar kawasan stadium dan mengingatkan kami agar kembali semula ke sini pada jam 5.30 petang.

Kami meluangkan masa ke Stesen Keretapi Yangon yang terletak berhadapan dengan Aung San Stadium. Bangunan cantik tapi kurang terjaga dan kelihatan usang. Di bahagian dalam stesen keretapi ramai penduduk tempatan berjualan.

Stesen Keretapi Yangon

Stesen Keretapi Yangon

5.30 petang kami kembali semula ke Aung San Stadium.

Pelancong Eropah

Pelancong dari Eropah ~ mereka ni sampai dari Bangkok, Thailand beberapa hari yang lepas melalui sempadan darat di Mae Sot (Thailand) dengan Myawaddy (Myanmar). Laluan sama yang akan kami lalui sepanjang malam bermula jam 9.00 malam sehingga keesokan hari sekitar jam 8.00 pagi 10 Disember 2016.

Sekitar 6.00 petang kami pun menaiki lori kecil @ tuk-tuk ke Aung Mingalar Highway Bus Station dengan ucapan selamat tinggal kota Yangon. Tambang 2000 Kyat. Disebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, kami tiba di Aung Mingalar Bus Station lebih kurang jam 8.15 malam. Tiket kami ialah tiket bas overnight, bas akan bergerak pada jam 9.00 malam. Ini bermaksud kami akan bermalam di dalam bas GI Group sahaja.

GI Group

Terkesima sekejap melihat tahap "kemewahan" didalam bas...ada TV mengalahkan kapal terbang Airasia tanpa hiburan yang agak membosankan tu.

Keadaan dalam bas

Sepanjang malam tengok movie dan dengar lagu...

Bad Romance
I want your love and
I want your revenge
You and me could write a bad romance
I want your love and
I want your revenge
You and me could write a bad romance
Oh-oh-oh-oh-oh
Oh-oh-oh-oh-oh-oh
What your bad romance!
Caught in a bad romance
What your bad romance!
Oh-oh-oh-oh-oh
Oh-oh-oh-oh-oh-oh...
~Lady Gaga~

Jarak perjalanan darat dari Yangon ke Myawaddy lebih kurang 440 kilometer dengan jangka masa perjalanan mencecah sehingga 12 jam lamanya bergantung kepada keadaan trafik.

Perhentian pertama

Bas akan berhenti beberapa kali sepanjang perjalanan untuk memberi peluang kepada penumpang mengisi perut dan ke tandas.

Bersambung...

Sunday, February 25, 2018

Trans Borneo: Dari Tambunan, Sabah ke Kota Pontianak, Indonesia

Hai!

Kami sekeluarga telah melakukan perjalanan ke Kota Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia dari pekan Tambunan, Sabah semasa cuti hujung tahun lepas. Perjalanan selama 8 hari 7 malam bermula 17 hingga 24 Disember 2017 dengan menggunakan kenderaan sendiri.

Layan dulu beberapa keping gambar di Kuching & Kota Pontianak:

Bandaraya Kuching

Jambatan Emas - Kuching

Fort Magherita - Kuching

Taman Alun Kapuas - Pontianak

Gereja Santo Yosef - Pontianak

Tugu Khatulistiwa - Pontianak

Lawa tak?

Ini dia perjalanan kami dari pekan Tambunan ke Kota Pontianak, Indonesia.

Tambunan ke Kota Pontianak

Saya kongsikan ringkasan itinerary, budget dan tips sebagai panduan:

Itinerary

Day 1: 17 Disember 2017 jam 6.30 pagi bertolak dari pekan Tambunan, Sabah ke Bintulu, Sarawak dan bermalam di 900 Inn Bintulu.

Day 2: Check out dan meneruskan perjalanan ke Kuching. Menginap di Oriental Inn, Kuching.

Day 3: Jalan-jalan dan melawat beberapa tempat menarik di Bandaraya Kuching, Sarawak. Menginap di Oriental Inn, Kuching.

Day 4: Check out dan meneruskan perjalanan ke Kota Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia melalui ICQ Tebedu-Entikong. Menginap di Garuda Hotel Pontianak.

Day 5: Jalan-jalan di Kota Pontianak, Indonesia. Menginap di Garuda Hotel Pontianak.

Day 6: Check out dan kembali ke Sarawak. Menuju Kuching sebelum meneruskan perjalanan ke Sri Aman, Sarawak. Menginap di Regent Inn.

Day 7: Check out dan meneruskan perjalanan kembali ke Sabah. Tiba di Tambunan, Sabah pada keesokan harinya pada jam 2.30 pagi 24 Disember 2017.

Perjalanan 8 hari 7 malam yang penuh mencabar dalam tempoh masa yang singkat. Singkat kerana masa banyak terbuang di atas jalan raya.

Perjalanan ke Kota Pontianak ini bukanlah kali pertama kami lakukan. Kami telah lakukan perjalanan yang sama pada bulan November tahun 2012. Bezanya, pada tahun 2012 kami tidak berkesempatan untuk ke Kuching, Sarawak.

Budget

Penginapan - RM540.00
Makan/Minum - RM500.00
Minyak (Petrol 95) - RM624.00
Keseluruhan: RM1664.00

Kos keseluruhan ni untuk sekeluarga yang terdiri daripada dua orang dewasa dan tiga orang kanak-kanak. Tapi kos tu tak termasuk perbelanjaan lain seperti shopping dan lain-lain. Anggaran kos keseluruhan termasuk lain-lain perbelanjaan dalam RM2400.00 untuk sekeluarga.

Tips sebagai panduan

1. Keadaan jalan raya dari pekan Tambunan ke Kota Pontianak secara keseluruhannya adalah baik. Walau bagaimanapun jalan raya dari Miri ke Kuching sedang dalam proses naik taraf (lebuh raya Pan Borneo). Kena berhati-hati ketika memandu pada malam hari.

2. Jarak perjalanan dari pekan Tambunan ke Kota Pontianak lebih kurang 1500km sehala. Anda disarankan untuk menginap di Miri atau Bintulu dan Serian atau Kuching sebelum masuk ke sempadan Indonesia melalui ICQ Tebedu-Entikong.

3. Harga barangan dan penginapan agak berpatutan. Disarankan hotel ditempah awal, saya tempah melalui Booking.com. Hanya ada 2 hotel di pekan Serian dan kedua-dua hotel ini tiada dalam Booking.com atau Agoda.com. Kena tempah melalui website hotel tersebut atau melalui telefon.

4. Makanan sama saja tapi pandai-pandailah memilih permis makanan yang bersih apabila berada di dalam sempadan Indonesia. Harga makanan berpatutan.

5. Sila tukar wang Ringgit (RM) kepada Rupiah ketika masih berada dalam sempadan Malaysia atau di mana-mana permis tukaran wang yang sah dalam sempadan Indonesia. Anda dinasihatkan tidak menukar RM ke Rupiah di kawasan ICQ Sarawak/Indonesia. Ramai individu dari Indonesia memberikan perkhidmatan tukaran mata wang secara haram di kawasan ini. Anda mungkin ditipu.

6. Rakyat Malaysia (Warganegara Sabah/ Semenanjung Malaysia) perlukan passport untuk melepasi sempadan Sabah/Sarawak, Sarawak/Brunei dan Sarawak/Indonesia. Disarankan guna passport antarabangsa Malaysia untuk melepasi kesemua sempadan tersebut.

7. Jika membawa kenderaan sendiri, sila bawa bersama kad kenderaan/green kad yang asal. Kad ini wajib dibawa bersama untuk digunakan di sempadan Sarawak/Brunei dan Sarawak/Indonesia. Pastikan cukai jalan kereta dan lesen memandu masih sah untuk digunakan!

8. Pastikan tahap tembus cahaya cermin kenderaan mematuhi peraturan yang dibenarkan sama ada di Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kenderaan bercermin gelap pasti akan berhadapan dengan masalah sepanjang perjalanan!

9. Penduduk di Kalimantan Barat agak mesra dan sedia membantu. Dari segi bahasa rasanya tiada masalah kerana kebanyakan mereka berbahasa Indonesia/Melayu.

So..sebelum bercerita lebih panjang, pengalaman ke Kota Pontianak adalah berbaloi dan saya cadangkan korang pergi untuk menikmati sendiri perjalanan yang agak mencabar dan tidak mungkin terlupakan.

Baca selengkapnya disini (akan dikemaskini kemudian):

Trans Borneo 01: Tambunan, Sabah ke Bintulu, Sarawak
Trans Borneo 02: Bintulu ke Kuching, Sarawak
Trans Borneo 03: Kuching, Sarawak ke Kota Pontianak, Indonesia
Trans Borneo 04: Kota Pontianak, Indonesia ke Sri Aman, Sarawak
Trans Borneo 05: Sri Aman, Sarawak ke Tambunan, Sabah

~Tamat~

Perkongsian Pintar