Tuesday, February 27, 2018

Pulau Samosir - Pulau Keramat Suku Batak

Rumah tradisi suku Batak

Pulau Samosir memiliki keluasan hampir sama dengan saiz negara Singapura. Didalam Pulau Samosir terdapat dua danau kecil iaitu Danau Aek Natonang dan Danau Sidihoni. Pulau ini didiami suku Batak Samosir. Walaupun hampir kesemua suku Batak yang tinggal di Pulau Samosir telahpun menganut agama Kristian, mereka masih mempertahankan warisan adat tradisi mereka. Mereka juga masih menjalankan beberapa ritual yang biasa dilakukan oleh nenek moyang mereka dahulu.

Di Pulau Samosir terdapat dua desa yang sering dikunjungi pelancong iaitu Tomok dan Tuktuk. Tomok merupakan desa yang menjadi lokasi pelancongan utama seperti Makam Raja Sidabutar, Muzium Batak dan pertunjukan tarian patung Sigale-gale yang terkenal. Berbeza dengan Tomok yang memiliki banyak lokasi bersejarah, Tuktuk pula merupakan desa di mana terdapat banyak pilihan penginapan untuk pelancong.

Pulau Samosir

Apa yang menarik di Pulau Samosir?

Mengenal sejarah Batak

Ketika berada di Pulau Samosir, pengunjung boleh mengenal serba sedikit sejarah Batak dengan mengunjungi tempat bersejarah. Luangkan masa mengunjungi desa Tomok di mana terdapat Makam Raja Sidabutar, Muzium Huta Bolon di Simanindo dan Batu Persidangan di Ambarita.

Makam Raja Butar sangat unik kerana dibina daripada batu besar tanpa sambungan dan terdapat ukiran wajah sang raja di batu makamnya. Raja Sidabutar merupakan orang pertama yang mendiami Tomok. Di kompleks pemakaman ini juga terdapat makam dua raja penerusnya dan makam beberapa anggota keluarga terdekat. Untuk masuk ke tempat ini, pengunjung dikehendaki memakai ulos (selendang) yang telah disediakan oleh petugas di pintu masuk.

Muzium Huta Bolon tak kurang daya tarikannya. Di sini pengunjung dapat melihat rumah adat Batak Simanindo peninggalan Raja Sidauruk yang pada ketika ini telahpun dijadikan muzium budaya Batak. Di dalam muzium terdapat banyak koleksi yang berkaitan dengan budaya Batak seperti pakaian tradisional, kain ulos dan juga keranda yang berisi patung Sigale-gale.

Tidak dilupakan juga desa Ambarita di mana terdapat Batu Persidangan. Batu yang berbentuk seperti meja ini dahulunya digunakan untuk mengadili dan menghukum tahanan. Tahanan yang terbukti melakukan kesalahan seperti membunuh, mencuri dan memperkosa akan dihukum pancung di meja ini.

Patung Sigale-gale

Patung Sigale-gale menjadi salah satu ciri khas di Sumatera Utara. Patung kayu setinggi 1.5 meter lengkap dengan pakaian adat Batak ini dapat menari tor-tor bersama pelancong. Pertunjukan tarian Sigale-gale ini dapat disaksikan di beberapa lokasi tumpuan pelancong di Danau Toba seperti di Muzium Huta Bolon.

Patung Sigale-gale harus disimpan di dalam keranda. Patung ini dikatakan sangat keramat kerana sejarahnya yang panjang. Berawal dari anak kesayangan seorang raja Batak pada zaman dahulu yang terkorban ketika berperang. Raja menjadi sangat sedih dan sering sakit.

Disebabkan keadaan sang Raja yang tidak menentu, tabib memutuskan untuk membuat patung kayu berukuran manusia dengan wajahnya menyerupai anak raja. Menurut penduduk tempatan, roh anak raja masuk kedalam patung kayu tersebut sehingga Sigale-gale mampu bergerak dan menari sendiri.

Belanja

Tidak lengkap jika melancong tanpa berbelanja. Di kawasan Danau Toba dan sekitarnya terdapat banyak kedai yang menjual kain tenun, gitar khas Batak dan beraneka suvenir lainnya. Suvenir-suvenir ini banyak ditemui di Pulau Samosir, Parapat, Balige dan tempat-tempat lain sekitar Danau Toba. Sediakan wang dan asah kemahiran tawar-menawar anda!

Pengangkutan ke Pulau Samosir

Lokasi terdekat dengan Danau Toba yang boleh dicapai kenderaan adalah pekan Parapat, Simalungun. Dari Terminal Pinang Baris di Medan, naik bas laluan Parapat. Perjalanan ke Parapat dari Medan memakan masa sekitar 6 jam. Jika ingin ke Pulau Samosir, anda boleh menyeberangi danau dengan menggunakan feri dari Pelabuhan Ajibata menuju Tuktuk, Samosir.

~TAMAT~

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon