Sunday, February 25, 2018

Trans Borneo: Dari Tambunan, Sabah ke Kota Pontianak, Indonesia

Hai!

Kami sekeluarga telah melakukan perjalanan ke Kota Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia dari pekan Tambunan, Sabah semasa cuti hujung tahun lepas. Perjalanan selama 8 hari 7 malam bermula 17 hingga 24 Disember 2017 dengan menggunakan kenderaan sendiri.

Layan dulu beberapa keping gambar di Kuching & Kota Pontianak:

Bandaraya Kuching

Jambatan Emas - Kuching

Fort Magherita - Kuching

Taman Alun Kapuas - Pontianak

Gereja Santo Yosef - Pontianak

Tugu Khatulistiwa - Pontianak

Lawa tak?

Ini dia perjalanan kami dari pekan Tambunan ke Kota Pontianak, Indonesia.

Tambunan ke Kota Pontianak

Saya kongsikan ringkasan itinerary, budget dan tips sebagai panduan:

Itinerary

Day 1: 17 Disember 2017 jam 6.30 pagi bertolak dari pekan Tambunan, Sabah ke Bintulu, Sarawak dan bermalam di 900 Inn Bintulu.

Day 2: Check out dan meneruskan perjalanan ke Kuching. Menginap di Oriental Inn, Kuching.

Day 3: Jalan-jalan dan melawat beberapa tempat menarik di Bandaraya Kuching, Sarawak. Menginap di Oriental Inn, Kuching.

Day 4: Check out dan meneruskan perjalanan ke Kota Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia melalui ICQ Tebedu-Entikong. Menginap di Garuda Hotel Pontianak.

Day 5: Jalan-jalan di Kota Pontianak, Indonesia. Menginap di Garuda Hotel Pontianak.

Day 6: Check out dan kembali ke Sarawak. Menuju Kuching sebelum meneruskan perjalanan ke Sri Aman, Sarawak. Menginap di Regent Inn.

Day 7: Check out dan meneruskan perjalanan kembali ke Sabah. Tiba di Tambunan, Sabah pada keesokan harinya pada jam 2.30 pagi 24 Disember 2017.

Perjalanan 8 hari 7 malam yang penuh mencabar dalam tempoh masa yang singkat. Singkat kerana masa banyak terbuang di atas jalan raya.

Perjalanan ke Kota Pontianak ini bukanlah kali pertama kami lakukan. Kami telah lakukan perjalanan yang sama pada bulan November tahun 2012. Bezanya, pada tahun 2012 kami tidak berkesempatan untuk ke Kuching, Sarawak.

Budget

Penginapan - RM540.00
Makan/Minum - RM500.00
Minyak (Petrol 95) - RM624.00
Keseluruhan: RM1664.00

Kos keseluruhan ni untuk sekeluarga yang terdiri daripada dua orang dewasa dan tiga orang kanak-kanak. Tapi kos tu tak termasuk perbelanjaan lain seperti shopping dan lain-lain. Anggaran kos keseluruhan termasuk lain-lain perbelanjaan dalam RM2400.00 untuk sekeluarga.

Tips sebagai panduan

1. Keadaan jalan raya dari pekan Tambunan ke Kota Pontianak secara keseluruhannya adalah baik. Walau bagaimanapun jalan raya dari Miri ke Kuching sedang dalam proses naik taraf (lebuh raya Pan Borneo). Kena berhati-hati ketika memandu pada malam hari.

2. Jarak perjalanan dari pekan Tambunan ke Kota Pontianak lebih kurang 1500km sehala. Anda disarankan untuk menginap di Miri atau Bintulu dan Serian atau Kuching sebelum masuk ke sempadan Indonesia melalui ICQ Tebedu-Entikong.

3. Harga barangan dan penginapan agak berpatutan. Disarankan hotel ditempah awal, saya tempah melalui Booking.com. Hanya ada 2 hotel di pekan Serian dan kedua-dua hotel ini tiada dalam Booking.com atau Agoda.com. Kena tempah melalui website hotel tersebut atau melalui telefon.

4. Makanan sama saja tapi pandai-pandailah memilih permis makanan yang bersih apabila berada di dalam sempadan Indonesia. Harga makanan berpatutan.

5. Sila tukar wang Ringgit (RM) kepada Rupiah ketika masih berada dalam sempadan Malaysia atau di mana-mana permis tukaran wang yang sah dalam sempadan Indonesia. Anda dinasihatkan tidak menukar RM ke Rupiah di kawasan ICQ Sarawak/Indonesia. Ramai individu dari Indonesia memberikan perkhidmatan tukaran mata wang secara haram di kawasan ini. Anda mungkin ditipu.

6. Rakyat Malaysia (Warganegara Sabah/ Semenanjung Malaysia) perlukan passport untuk melepasi sempadan Sabah/Sarawak, Sarawak/Brunei dan Sarawak/Indonesia. Disarankan guna passport antarabangsa Malaysia untuk melepasi kesemua sempadan tersebut.

7. Jika membawa kenderaan sendiri, sila bawa bersama kad kenderaan/green kad yang asal. Kad ini wajib dibawa bersama untuk digunakan di sempadan Sarawak/Brunei dan Sarawak/Indonesia. Pastikan cukai jalan kereta dan lesen memandu masih sah untuk digunakan!

8. Pastikan tahap tembus cahaya cermin kenderaan mematuhi peraturan yang dibenarkan sama ada di Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kenderaan bercermin gelap pasti akan berhadapan dengan masalah sepanjang perjalanan!

9. Penduduk di Kalimantan Barat agak mesra dan sedia membantu. Dari segi bahasa rasanya tiada masalah kerana kebanyakan mereka berbahasa Indonesia/Melayu.

So..sebelum bercerita lebih panjang, pengalaman ke Kota Pontianak adalah berbaloi dan saya cadangkan korang pergi untuk menikmati sendiri perjalanan yang agak mencabar dan tidak mungkin terlupakan.

Baca selengkapnya disini (akan dikemaskini kemudian):

Trans Borneo 01: Tambunan, Sabah ke Bintulu, Sarawak
Trans Borneo 02: Bintulu ke Kuching, Sarawak
Trans Borneo 03: Kuching, Sarawak ke Kota Pontianak, Indonesia
Trans Borneo 04: Kota Pontianak, Indonesia ke Sri Aman, Sarawak
Trans Borneo 05: Sri Aman, Sarawak ke Tambunan, Sabah

~Tamat~

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon

Perkongsian Pintar